Tiada siapa yang memilih untuk hidup sebagai gelandangan dan tinggal di jalanan. Setiap seorang dari mereka mempunyai kisah dan alasan tersendiri yang memaksa mereka untuk hidup begini.

Pengalaman bertemu dan menyantuni warga jalanan bagi projek TGIF – Thank God It’s Food ini banyak mengajar kami tentang isu kelaparan dan masalah sosio-ekonomi yang dihadapi oleh gelandangan.

Ikuti kisah warga jalanan yang sudi berkongsi cerita mereka bersama tim Charity Right dan semoga kita dapat mengambil iktibar dan bersama-sama meringankan beban mereka.

Kisah Jalanan: Pak Cik Omar

Kisah Jalanan TGIF

 

Sudah lebih 3 minggu Pak Cik Omar (bukan nama sebenar) menetap di jambatan ini.

Setelah kehilangan kerja sebagai pengawal keselamatan kerana PKP, Pak Cik Omar yang berusia 62 tahun, sudah tidak mampu menampung kos tempat tinggal dan makan minumnya.

Akhirnya, dia terpaksa tinggal di jalanan.

Kami terjumpa Pak Cik Omar bila saya pergi ke kawasan Pasar Seni untuk tolong agihkan makanan buat gelandangan. Sambil edarkan makanan, saya borak-borak sekejap untuk kenal mereka.

“Pak Cik ada anak?” tanya saya.
“Ada”
“Kenapa pak cik tak tinggal dengan anak-anak?”

“Pak cik tak boleh senang-senang buat keputusan untuk tinggal dengan anak-anak dan ganggu hidup mereka. Mereka pun orang susah,tak cukup duit untuk makan pakai keluarga sebab kena tanggung pak cik sekali ” jawab Pak Cik Omar.

Bila dengar jawapan Pak Cik Omar saya cuma mampu mengangguk faham saja. Orang tua pun ada egonya sendiri dan mereka tak suka nak bebankan anak-anak.

Pak Cik Omar bagitahu saya, dia cuma mampu reda dan bertawakal kepada Allah sahaja selama dia tinggal di jalanan. Hatinya tenang dan dia sangat bersyukur Allah menjaga dirinya dengan baik.

Malam itu, seorang gelandangan telah mengingatkan saya banyak benda penting dalam hidup ini yang kita sering lupa.

Bersyukur itu lebih dari sekadar ucapkan “Alhamdulillah” dan bukan hanya dirasakan bila kita terima rezeki sahaja.

Apabila ditimpa ujian, hati akan menjadi tenang bila kita belajar menerima ketentuan Allah dan bertawakal kepada Nya. Seperti Pak Cik Omar, dia tak merungut dengan nasib hidupnya dan dia tetap percaya dan berserah kepada Allah.

Terima kasih Pak Cik Omar. Saya harap kita boleh doakan yang terbaik buat beliau dan semoga Allah terus menjaga pak cik.

Oleh: Hassaan Izhar, Pengurus Projek Charity Right

 

 

Kisah Jalanan: Mr Riza

Kisah Jalanan TGIF

 

Kami berjumpa dengan Mr Riza (bukan nama sebenar) ketika mengagihkan makanan panas buat warga jalanan di sekitar kawasan Pasar Seni. Mr Riza ialah seorang pelarian dari Iraq dan dia meninggalkan tanah airnya lebih dari 10 tahun yang lalu. Keputusan berat ini terpaksa diambil demi mencari kehidupan yang lebih baik berikutan konflik yang melanda negaranya.

Ketika mula-mula sampai di Malaysia, kehidupannya terumbang-ambing dan susah untuk mencari pekerjaan kerana dia tidak tahu berbahasa Melayu dan hanya boleh berbahasa Inggeris sahaja. Namun, beliau tidak patah semangat dan tetap berusaha untuk mencari rezeki.

Mr Riza dahulunya bekerja sebagai jurutera mekanikal kini bekerja sebagai tukang sapu sampah, di samping mengutip botol dan kotak kosong untuk dikitar semula. Meskipun hidupnya berubah 360 darjah, dia tetap bersyukur.

Hatinya tenang kerana mempunyai tempat tinggal yang selamat dan bebas dari letupan bom dan peluru. Keselamatannya terjaga dan nyawanya tidak terancam setiap masa. Dia masih ada pekerjaan walaupun tidak sebaik yang dahulu dan alhamdulillah ia cukup untuk menampung hidupnya.

Sudahkah kita mengucapkan “Alhamdulillah” harini kerana mempunyai tempat berteduh yang selamat dan dapat tidur lena tanpa perlu risaukan keselamatan nyawa kita setiap masa?

Oleh: Tim Charity Right

 

Kisah Jalanan: Uncle Lim

Kisah Jalanan TGIF

 

Saya terjumpa Uncle Lim (bukan nama sebenar) ketika dia sedang menyelongkar sampah di tepi jalan. Rasa kesian sangat tengok dia korek sampah, mungkin tengah cari makanan sebab lapar sangat. Saya terfikir, dimanalah anak-anak Uncle Lim ini. Saya pun berikan Uncle Lim satu pek makanan panas dan air mineral, dan terus berjalan untuk sambung edarkan makanan di kawasan lain.

Habis agihkan makanan, saya dan volunteers yang lain pun berpatah balik dan lalu di jalan yang sama untuk pergi ke meeting point kami. Saya perasan Uncle Lim ada lagi di situ, dan dia masih lagi tengah menyelongkar sampah.

Saya rasa hairan sebab makanan dah diberi,apa yang Uncle Lim cari lagi? “Uncle,uncle cari apa tu?”

“Cari duit. Mana tahu ada orang tertinggal duit kat sini atau terbuang duit diorang. You ada duit?”

Terkedu saya dengar jawapan Uncle Lim. Betullah bila orang cakap, selain makanan, zaman sekarang ini duit juga satu keperluan asas manusia untuk survive,dan memang hidup terasa sesak dan perit kalau tiada duit.

Mungkin sebab inilah Uncle Lim sanggup menyelongkar sisa-sisa sampah demi sesen duit.

Dan bekerja untuk mencari duit memang susah dan penat. Tapi perbualan saya dengan Uncle Lim telah membuatkan saya sangat hargai semua nikmat yang Allah beri kepada saya, ada pekerjaan yang baik dan masih mampu menanggung keluarga.

Kadang-kadang kita tak hargai rezeki yang kita ada, sentiasa rasa ada yang kurang.

Oleh: Jeehan Johari, Tim Charity Right

 

Sumbang ke Projek Amal TGIF Charity Right

No amount is too little. Feed a family today. 

 

Browse Our Latest Campaigns ➡️

Hearing about Charity Right Malaysia for the first time?

Charity Right is an international food aid organization that works in neglected communities around the world, feeding forgotten and underserved individuals. Our meals support schoolchildren and adults in refugee camps, slums, jungles, and remote villages across Asia, Africa, and Europe.

Browse: DonateCampaigns | Volunteer with Us | Testimonials | Latest News

Want more of these blog posts delivered straight to your inbox? Sign up for our newsletter below.


    Subscribe to our newsletter